21,378 Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu dikeluarkan kepada pekerja asing – Imigresen

21,378 Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu dikeluarkan kepada pekerja asing – Imigresen

Jabatan Imigresen (JIM) mendedahkan lebih 21,378 Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu dikeluarkan kepada pekerja asing oleh sindiket haram.

Ketua Pengarah Imigresen, Khairul Dzaimee Daud, berkata pengesanan itu dibuat susulan kejayaan pihaknya dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menumpaskan sindiket PLKS palsu dengan penahanan lima individu termasuk seorang bergelar Datuk semalam.

“Setakat ini berdasarkan maklumat yang kita peroleh sebanyak 21,378 pekerja asing mempunyai PLKS palsu dan tangkapan akan dilakukan dari semasa ke semasa.

“Kita akan cari semua lebih 21,000 pemegang PLKS ini berdasarkan operasi oleh Jabatan Imigresen di seluruh negara.

“Operasi yang bermula sejak tahun lalu ini sedang giat mencari dan menahan mereka yang terbabit,” katanya pada sidang media bersama Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki di pejabat SPRM Kuala Lumpur.

Beliau berkata, bukan saja pekerja asing diburu sebaliknya majikan yang bersubahat juga akan didakwa di mahkamah.

“Antara warga negara asing terlibat adalah Bangladesh, Indonesia dan Pakistan,” katanya yang membabitkan sektor perkhidmatan, perkilangan dan perladangan.

Sementara itu, Azam mendedahkan seorang bekas pegawai JIM terlibat menggerakkan sindiket PLKS palsu berkenaan.

“Dalam siasatan kami mereka menggunakan ‘router’ untuk menggodam ID sistem pegawai imigresen dan mencetak PLKS ini di luar daripada JIM.

“Mereka yang ditahan akan direman selama enam hari mulai hari ini,” katanya.

Semalam, SPRM dan JIM berjaya mematahkan sindiket pengeluaran PLKS palsu menerusi operasi besar-besaran.

Operasi itu merungkai kegiatan sindiket yang menyebabkan ketirisan puluhan juta ringgit hasil kerajaan yang sepatutnya diperoleh daripada levi pekerja asing.

Dalam operasi itu juga, wang tunai berjumlah RM491,110 dan lain-lain mata wang, 12 kenderaan mewah bernilai lebih RM300,000 setiap satu, dan 34 unit jam tangan mewah pelbagai jenamam dirampas.

Jumlah sitaan bagi kes itu adalah RM25.5 juta.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/04/07/imigresen-buru-lebih-21000-warga-asing-guna-plks-palsu/

COMMENTS