Bekas KSN dakwa 1MDB ditubuhkan untuk dana politik BN

Bekas KSN dakwa 1MDB ditubuhkan untuk dana politik BN

Bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Sidek Hassan pada Selasa memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa mengikut pemahamannya syarikat pelaburan strategik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ditubuhkan untuk dijadikan dana politik kepada parti kerajaan ketika itu iaitu Barisan Nasional (BN).

Mohd Sidek, 71, berkata oleh sebab itu, beliau tidak pernah bertanya kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak atau mana-mana pihak dalam 1MDB berkenaan masalah yang berlaku dalam syarikat tersebut.

Menurutnya, isu-isu yang melanda 1MDB hanya diketahuinya melalui media massa seperti surat khabar dan bacaan di internet dan beliau mengetahui isu itu berkaitan dakwaan salah guna dana.

“Saya juga tahu bahawa adanya penyiasatan oleh agensi tempatan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas 1MDB melalui pembacaan saya di surat khabar tempatan, namun saya tidak pernah ditaklimat atau diberitahu secara lanjut apakah butiran penyiasatan ke atas 1MDB.

“Saya sahkan Datuk Seri Najib selaku perdana menteri (ketika itu) tidak pernah memberitahu saya berkenaan isu-isu yang berlaku dalam 1MDB, walaupun saya dilantik menjadi seorang daripada Ahli Lembaga Penasihat 1MDB.

“Saya juga tidak pernah bertanya Datuk Seri Najib kenapa tiada sebarang mesyuarat Ahli Lembaga Penasihat 1MDB diadakan sepanjang tempoh saya menjawat jawatan itu dan tiada mana-mana wakil 1MDB melaporkan kepada saya tentang operasi dan pelaburan yang dibuat oleh pihak syarikat tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam dalam perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1MDB yang dihadapi bekas perdana menteri itu.

Sementara itu, saksi pendakwaan ke-19 itu berkata beliau beranggapan pelantikannya sebagai Ahli Lembaga Penasihat 1MDB hanyalah untuk menambah pendapatannya sebagai KSN yang dianggap tidak setimpal oleh Najib.

 

BACA JUGA :

100 juta unit saham TNB dalam TH dijual waktu BN jadi kerajaan, bukan PH

Mahkamah di New York dedah Rosmah beli kalung berlian RM97.2 Juta

Siasatan 1MDB tidak ditutup, tapi bawah NFA, kata bekas peguam negara

COMMENTS

Wordpress (0)