Isterinya tiba-tiba viral, ini respon Yassin

Isterinya tiba-tiba viral, ini respon Yassin. Pelawak dan pelakon Yassin tidak kisah apabila isterinya kini menjadi perhatian ramai selepas viral menerusi sebuah video yang dimuat naik di akaun Tik Tok baru-baru ini.

Yassin atau nama sebenarnya, Yassin Yahya, 44, yang sebelum ini jarang berkongsi perihal keluarganya pada khalayak umum kini bersikap terbuka dan tidak menghalang isterinya, Farah Waheeda Maharidan, 43, untuk terus aktif menggunakan media sosial seperti Tik Tok.

“Saya tidak halang isteri untuk terus menggunakan media sosial atau Tik Tok sebab semua harus merasa, saya sendiri juga turut mempunyai akaun Tik Tok.

“Isteri juga sudah boleh menerima dunia glamor. Saya beritahunya, zaman sekarang sesiapa pun boleh menjadi viral. Jadi, nikmatilah media sosial sebaiknya, tetapi harus menjaga batasan jangan sampai membahayakan,” ujar Yassin.

Dalam pada itu, Yassin yang mendirikan rumah tangga dengan isterinya pada 2011 dan dikurniakan seorang anak perempuan, Putri Auliya Zawarda, 5, menjelaskan, selama ini dia sememangnya mengambil pendekatan untuk tidak mendedahkan keluarga pada khalayak.

Namun, selepas menyertai program Gegar Vaganza musim kelapan baru-baru ini, Yassin bersikap lebih terbuka dan mengatakan sekarang adalah waktu yang sesuai untuk mendedahkan isteri dan anaknya.

“Sebelum ini memang permintaan saya untuk tidak mendedahkan keluarga. Orang ramai kenal saya kerana kerjaya seni buat apa hendak mengembar-gemburkan tentang isteri.

“Bagi saya jika ingin dedahkan perlu masa yang sesuai dan sekarang dengan saya menyertai Gegar Vaganza jadi sama-sama nikmati momen ini,” ujar Yassin yang ditemui pada majlis pelancaran filem terbaharunya, Nasi Lemak 2.0 di Dadi Cinema, Pavilion di sini semalam.

Bercerita tentang filem terbaharunya, Yassin menjelaskan sebagai seorang pelakon dia tidak mengambil pusing kontroversi yang melanda Namewee selaku pengarah filem berkenaan.

Justeru, dia bersikap terbuka dan menerima tawaran untuk membintangi filem Nasi Lemak 2.0 demi seni dan pengalaman baharu apabila buat pertama kalinya bekerja dengan pengarah berbangsa Cina.

“Saya tidak memandang kontroversi, saya pandang siapa pengarah dan selepas melihat hasil kerjanya sebelum ini dia memang seorang yang berbakat.

“Hasil kerjanya sangat teliti terutama daripada aspek sinematografi. Saya terima dan tidak kisah apa pun orang mahu bercakap tentang cerita ini,” tutur Yassin tentang filem yang menelan kos sebanyak RM3.5 juta itu.

Filem Nasi Lemak 2.0 yang bakal menemui penonton di pawagam pada 27 Januari ini turut dibintangi oleh Datuk AC Mizal, Karen Kong, Saiful Apek, Delimawati, Yumi Wong, Wak Doyok dan David Arumugam.

Baca: Penyelam temui terumbu karang gergasi berbentuk bunga mawar

COMMENTS

Wordpress (0)