Pemuda sanggup jual tanah beli ikan koi RM300,000 seekor

Pemuda beli ikan koi RM300,000.Kerana terlalu kemaruk memiliki ikan koi berkualiti tinggi dari Jepun, seorang penternak ikan koi (Japanese Koi) sanggup menghabiskan wang hasil jualan tanah untuk membeli ikan koi yang berharga RM300,000 seekor.

Ikan koi jenis Sakai Kohaku yang dibeli di Sakai, Jepun itu antara ikan koi terbaik dan kerap memenangi pelbagai pertandingan ikan koi di peringkat antarabangsa.

Mohd Zulkifli Husin, 46, atau lebih dikenali dengan panggilan Usop Cerek dari Kampung Gong Pauh mengakui dia ialah peminat tegar ikan koi dan bergiat aktif dalam bidang penternakan ikan koi itu sejak tahun 2015.

“Saya menjual tanah semata-mata untuk membeli ikan koi Sakai Kohaku yang berkualiti tinggi itu.

“Sekarang ikan koi itu masih berada di Ladang Ikan Koi Sakai, Jepun dan kerap ditawar untuk dibeli peminat ikan koi lain dan terbaru ditawar dengan harga RM450,000.

“Tetapi, saya tidak bersedia untuk menjualnya lagi kerana harga pasaran semasa ikan koi itu mencecah RM600,000 seekor,” katanya.

Pemuda sanggup jual tanah beli ikan koi RM300,000 seekor

Tambahnya, dia sengaja tidak membawa pulang ikan koi itu ke Malaysia kerana ingin menyertai pelbagai pertandingan ikan koi yang dianjurkan di Jepun.

“Jika saya membawa pulang ikan koi itu ke Malaysia, harga dan nilai eksklusifnya akan menurun selain sukar untuk memperoleh pembeli yang berani membeli ikan itu mengikut harga pasaranya.

“Buat masa sekarang, biar ikan koi berkenaan dibela di Jepun dan peluang untuk menjualnya semula adalah sangat tinggi kerana peminat ikan koi di seluruh dunia tertumpu di sana,” katanya lagi.

Di samping itu, menurut Usop Cerek, dia memiliki kira-kira 40 ekor ikan koi pelbagai jenis di kolam rumahnya termasuk, Omosako Shiro Utsuri, Doitsu Showa, Benikiko, Sanke Sakai, Dainichi Showa dan Momotaro Kohaku yang bernilai lebih RM500,000.

“Harga ikan koi yang diternak di kolam ikan koi di rumah saya sekarang berharga RM20,000 hingga RM60,000 seekor dengan kos makanan dan vitamin RM2,000 sebulan,” katanya ketika ditemui Harian Metro.

BACA:

Lelaki terselamat daripada maut, batang besi tembus kepala
[VIDEO] Pelapis long tiger muncul pula

COMMENTS

Wordpress (0)