Penyelam temui terumbu karang gergasi berbentuk bunga mawar

Penyelam temui terumbu karang gergasi berbentuk bunga mawar.Sekumpulan penyelam antarabangsa dari Perancis menemui sebuah terumbu karang semula jadi yang berbentuk seperti bunga mawar di luar pantai Tahiti baru-baru ini, lapor laman berita Wion News kelmarin.

Seorang jurugambar, Alexis Rosenfel yang mengetuai pasukan penyelam itu menyifatkan penemuan terumbu karang sepanjang 3 kilometer tersebut sebagai satu keajaiban.

“Ia bagaikan satu keajaiban untuk melihat terumbu karang gergasi dan berbentuk seperti bunga mawar yang cantik terbentang di hadapan mata. Ia bagaikan satu karya seni,” katanya.

Agensi berita Reuters sebelum ini melaporkan bahawa terumbu karang mengambil masa selama 25 tahun untuk membesar. Sebilangan terumbu karang yang berbentuk seperti bunga mawar pula mempunyai diameter lebih 2 meter.

Penemuan tersebut memberi sinar harapan bahawa kemungkinan terdapat banyak lagi terumbu karang yang belum ditemui memandangkan hanya 20 peratus daripada dasar laut telah dipetakan.

Sementara itu, Ketua Polisi Marin Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Julian Barbiere berkata, penemuan itu menimbulkan persoalan tentang bagaimana terumbu karang mampu berdaya tahan terhadap perubahan iklim.

“Kita lebih tahu mengenai permukaan Bulan atau Marikh berbanding dasar laut dalam,” ujarnya.

Terumbu karang dianggap sebagai antara ekosistem lautan paling diancam bahaya memandangkan ia adalah mudah terdedah kepada pencemaran dan peningkatan suhu laut.

BACA JUGA: Nora Danish di kecam netizen gara-gara muat naik babak lakonan
Nasi Lemak Janda cadang lebarkan sayap bisnesnya

COMMENTS

Wordpress (0)